SINGAPURA 21 Okt. - Perodua MyVi berjaya menduduki tangga teratas daripada segi kualiti awal automotif bagi segmen kereta kompak untuk tempoh tahun ketiga berturut-turut.
Perodua MyVi memperoleh pungutan mata sebanyak 127 PP100, berdasarkan hasil tinjauan Kualiti Awal Malaysia 2009, J.D. Power Asia Pacific.
Pencapaian MyVi diikuti model kereta Proton Savvy (154 PP100) dan Perodua Viva sebanyak (186 PP100).
Honda City yang diberi wajah baru menguasai tempat teratas dalam segmen kereta saiz sederhana rendah dengan pungutan mata 76 PP100.
Toyota Vios pula memperoleh mata sebanyak 107 PP100 untuk berada ditempat kedua manakala Proton Saga (158 PP100) mendapat tempat ketiga.
Dalam segmen kereta saiz sederhana, Toyota Corolla Altis menduduki tempat tertinggi dengan mata 80 PP100 diikuti Honda Civic (103 PP100).
J.D. Power Asia Pasific dalam kenyataannya di sini berkata, kualiti awal keseluruhan kenderaan baru di Malaysia telah meningkat dengan ketara berbanding tahun lalu.
Katanya, tinjauan yang dijalankan antara Mac hingga Julai tahun ini adalah berdasarkan penilaian daripada 2,874 pemilik kenderaan baru yang membuat pembelian antara September tahun lalu dan Mei tahun ini.
Kenderaan yang dinilai termasuk 52 buah model kereta penumpang, pikap dan kenderaan utiliti yang meliputi 15 jenama.
Tinjauan yang kini memasuki tahun ketujuh memberi penilaian terhadap kualiti kenderaan baru dalam tempoh dua hingga enam bulan sejak ia dimiliki.
Kenyataan itu menambah, tinjauan berkenaan mengukur lebih 200 tanda-tanda atau simptom masalah kenderaan yang melibatkan lapan komponen kenderaan.
Komponen-komponen yang diukur, kata kenyataan tersebut adalah sudut luaran kenderaan, pengalaman pemanduan, ciri-ciri, kawalan, paparan, audio, hiburan, pengemudian, tempat duduk, HVAC, dalaman kenderaan dan enjin serta transmisi.
Katanya, semua masalah dirumus dalam bentuk nombor masalah yang dilaporkan pada ukuran kenderaan per 100 (PP100).
Mata PP100 menunjukkan kadar kejadian masalah yang rendah dan berprestasi tinggi.
Kualiti awal keseluruhan di Malaysia dalam purata 136 PP100 pada tahun ini, meningkat sebanyak 22 PP100 berbanding tahun lalu.
Peningkatan yang dicapai pada tahun ini didapati dalam kelapan-lapan bidang komponen yang dinilai.
Isu-isu luaran kenderaan dan masalah yang berkaitan dengan pengalaman pemanduan merangkumi hampir 50 peratus dari jumlah masalah yang dilaporkan.
"Pentingnya kita membekalkan kualiti awal kenderaan yang bertahap tinggi, kerana ini akan menyumbang kepada kesetiaan dan sokongan pelanggan terutamanya melalui pengesyoran," kata Ketua Pengurus J.D. Power Asia Pasifik, Malaysia, Taku Kimoto.
Beliau memberitahu, di dalam pasaran Malaysia, rakan atau saudara-mara adalah sumber rujukan informasi yang paling umum oleh pembeli kenderaan baru dalam pemilihan pembuat atau model.
Jelasnya, tinjauan yang dilakukan itu turut mendapati kira-kira 60 peratus daripada pelanggan gembira dengan kualiti awal kenderaan mereka (yang memberikan lapan atau lebih mata dalam skala 10 mata)."Mereka pasti akan mengesyorkan model mereka kepada rakan dan saudara mara. "Secara bandingan, hanya 26 peratus daripada pelanggan yang berasa kecewa atau tiada pendapat (yang memberikan tujuh atau kurang mata dalam skala 10 mata) berkata bahawa mereka pasti akan mengesyorkan,'' ujar Kimoto.Selain itu, katanya, sebanyak 21 peratus pelanggan dengan gembira mengatakan bahawa mereka pasti akan membeli jenama yang sama lagi, manakala hanya 14 peratus pelanggan yang kecewa atau tiada sebarang pendapat berkata demikian.












