
Penyanyi yang terkenal dengan lagu berjudul Wassini, Waheeda bukan sahaja sudah dua tahun meninggalkan bidang nyanyian yang diceburinya sejak tahun 2003.Malah, penyanyi yang kini muncul dengan imej berpurdah menyebabkan ramai para peminat yang terkejut dan hampir tidak mengenalinya.Dengan bertudung litup dan hanya kelihatan matanya sahaja, ditambah dengan berkaca mata maka semakin ramailah orang yang tidak mengenali identiti penyanyi ini. Menurut penyanyi berusia 33 tahun, dia bukan sengaja mahu melarikan diri daripada bidang nyanyian, sebaliknya sudah hilang minat terhadap bidang yang pernah diceburinya itu.
“Saya berpurdah kerana mengikut tuntutan agama Islam, manakala saya berkaca mata kerana saya memang rabun sejak dulu. Sebelum ini saya hanya pakai contact lens tetapi lama kelamaan saya rasa lebih senang pakai cermin mata.
“Sebenarnya saya masih minat bidang seni tetapi buat masa ini lebih senang di belakang tabir sahaja. Biarlah suami saya Akhil Hayy sahaja yang masih menjadi penyanyi,” komennya sewaktu ditemui di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Pada pertemuan sempena ulang tahun Akhil Network yang pertama itu, Waheeda atau lebih mesra dengan panggilan Wawa tidak banyak bercakap. Sebaliknya, penyanyi yang pernah popular menerusi konsep lagu-lagu nasyid, arab dan ke arah world music itu juga begitu sopan berbicara termasuklah sewaktu ditemui di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Pada majlis yang diadakan selepas berbuka puasa itu, Waheeda pada mulanya agak keberatan untuk diambil gambarnya, tetapi dengan ditemani oleh suaminya dia akur dengan permintaan media massa. Jelas penyanyi yang pernah menghasilkan tiga buah album berjudul Wassini, Binafsa dan Melodi Alahan ini berkata, masanya kini lebih banyak sebagai suri rumah sepenuh masa.
Dia yang mendirikan rumahtangga dengan Akhil Hayy yang juga seorang penyanyi, pendakwah bebas dan usahawan lebih senang berada di sisi suaminya menjalankan kerja-kerja di belakang tabir. “Saya tinggal di rumah sahaja. Sesekali ada juga ikut temankan suami berceramah di merata-rata tempat,” ulasnya ringkas apabila diajukan tentang aktiviti sehariannya kebelakangan ini.
Waheeda yang bernikah dengan Akhil pada 16 Ogos 2009 memang banyak berubah sejak kebelakangan ini bukan sahaja daripada segi penampilan imejnya. Malah, tutur kata dan pergaulan sosialnya juga cukup dibatasinya agar tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Bekas artis di bawah naungan syarikat MIG Records milik David Teo ini juga seolah-olah mengucapkan selamat tinggal buat bidang lakonan yang pernah diceburinya suatu ketika dulu. “Cukuplah setakat itu dulu,” ujarnya ringkas sambil ditemani oleh anak tirinya, Siti Nur Maisarah, 14, iaitu anak sulung Akhil hasil perkahwinannya yang terdahulu.
Pendirian bekas selebriti yang dilahirkan pada 23 September 1978 ini cukup tegas kerana dengan imej yang menyaluti tubuhnya itu ia memang menyukarkannya untuk kembali ke pentas lakonan. Bagaimanapun, dia yang pernah berlakon dalam filem seperti Jutawan Fakir, I Know What You Did Last Raya, Anak Mami dan 7 Perhentian ini jelas tidak terpancar daripada kerdipan matanya.
Waheeda yang kini bukan sahaja berpurdah tetapi juga berkaca mata telah memilih jalan hidupnya sendiri dan berharap ia tidak dijadikan isu dengan penampilan tersebut.
Addin :
Alhamdulillah..diharapkan dapat terus istiqomah..













